Selepas 14 tahun berjauhan dengan isteri, bapa kepada bayi lapan bulan yang maut selepas didera pengasuh, Mejar Ir. Ts. Mohd. Fikry Amri Abdul Halim,39, melahirkan rasa syukur kerana akhirnya dapat dipindahkan ke Melaka.
Beliau yang sebelum ini bertugas di Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur memaklumkan pemindahan penempatan tugas tersebut menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Selepas 14 tahun berjauhan…
Dalam hantaran tersebut, Mohd. Fikry berkata penantiannya selama 14 tahun untuk duduk sebumbung dengan isterinya di Melaka berakhir apabila selesai melakukan urusan menyerah tugas berlangsung hari ini
“Setelah sekian lama hidup berjauhan dengan isteri, akhirnya saya dapat hidup sebumbung,” tulisnya.
Tambah beliau, pemergian anak tercinta pada 6 September lalu menjadi asbab untuk dirinya kembali ke Melaka sekali gus berharap agar segala urusan baharunya dipermudahkan.
“Semoga dipermudahkan urusan saya di tempat baru. Dapat ‘daddy’ dan ‘mommy’ melawat kubur Al Fateh hari-hari. Insya-Allah.
“Terima kasih kepada semua yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat.
“Semoga Allah membalas jasa kalian dengan rezeki berlipat ganda. Amin Ya Rabbal Al-amin,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial apabila berita tentang pemergian seorang bayi berusia 8 bulan yang dipercayai akibat lemas selepas dihantar di taska di Taman Kelemak.
Difahamkan, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) taska berkenaan memperlihatkan seorang pengasuh telah menyumbat botol susu ke mulut Al Fateh dan menekup bantal ke wajah bayi berkenaan.
Susulan daripada itu, seorang pengasuh wanita berusia 34 tahun didakwa membunuh bayi lapan bulan Muhamad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan lain pada ketika itu, Kementerian Pertahanan turut mempertimbangkan permohonan Mohd. Fikry berhubung perubahan penempatan tugasnya dari RAJD Kem Perdana, Sungai Besi, Kuala Lumpur ke Kem Sungai Udang, Melaka.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kementerian prihatin dengan situasi sukar sedang dialami keluarga itu yang memerlukan mereka berada berdekatan memandangkan si suami berkhidmat di Kem Perdana Sungai Besi, manakala si isteri seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Naning.
Sumber: FB Mohd Fikry Amri
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply