Hulu Selangor: Sebuah kebun ubi di Kampung Klan Halt, Slim River, Perak hari ini menjadi tumpuan pasukan forensik dan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha mencari bahan bukti kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, siasatan mendapati kebun ubi itu diusahakan suspek berusia 26 tahun secara sambilan.
Pada masa sama, beliau menafikan kebun itu milik suspek.
“Memandangkan siasatan masih lagi berjalan, kita tidak boleh menjelaskan (soalan lain) dengan lebih lanjut lagi.
“Tunggu Ketua Polis Selangor (Datuk Hussein Omar Khan) membuat kenyataan rasmi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Asri berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di kebun ubi itu dan pulang ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor untuk menganalisa kereta suspek jenis Toyota Vios.
“Pada masa sama, analisa juga akan dilakukan ke atas kad sim telefon bimbit milik suspek,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Asri memaklumkan pemantauan IPD Muallim di Sungai Trolak mendapati keadaan sungai tidak mengizinkan untuk pasukan penyelam meneruskan pencarian.
Untuk rekod, operasi pencarian baki bahan bukti kes pembunuhan mangsa diteruskan di sebuah lagi lokasi kira-kira 20 minit dari Kampung Sri Keledang.
Hussein berkata, operasi tersebut bagi mencari bahan bukti dipercayai barangan peribadi milik mangsa.
Amarah sekelip mata sesal selamanya!
Suspek dibawa bagi memudahkan pencarian bahan bukti di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suspek dibawa bagi memudahkan pencarian bahan bukti di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25. FOTO ASYRAF HAMZAH
Kuala Lumpur: Hanya kerana ‘hilang waras’ beberapa minit, seluruh kehidupan berubah malah terpaksa menanggung kekesalan sepanjang hayat.
Itu yang berlaku dalam kebanyakan kes pembunuhan membabitkan suspek atau orang kena tuduh (OKT) adalah individu dikenali oleh mangsa.
Kebanyakan kes pembunuhan ini akan berakhir dengan penyesalan yang keterlaluan dan kehidupan pelaku akan berubah dengan sekelip mata hanya kerana mengikut amarah.
Pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, hilang pertimbangan selama beberapa minit itu menentukan nasib sepanjang hayat si pelaku.
Menurutnya, jika seseorang itu waras serta rasional, hampir mustahil untuk individu terbabit melakukan jenayah seperti menikam, menetak, mencekik atau apa saja dengan niat membunuh mangsa.
Katanya, tindakan di luar batas pemikiran kemanusiaan itu didorong perasaan terlalu marah.
“Jika kita amati kes pembunuhan membabitkan orang yang dikenali ini, suspek atau OKT tidak mahu membunuh mangsa, tetapi mereka dikuasai oleh amarah atau emosi yang tidak stabil.
“Akibatnya, mereka akan didorong oleh perasaan marah itu dan melakukan jenayah terbabit dan apabila akal waras mereka sudah kembali, ia sudah terlambat untuk diperbetulkan.
“Jadi, panik dengan perbuatan mereka, si pelaku akan cenderung untuk menghapuskan bukti dan seboleh-bolehnya menghilangkan seberapa banyak kaitan bukti mangsa dengan pelaku,” katanya.
Shahul Hamid berkata, terdapat juga kes pembunuhan oleh orang yang dikenali ini akan mengakibatkan pelakunya dihantui perasaan bersalah sepanjang hayat mereka,” katanya.
Beliau berkata, semua ini berlaku kerana gagal mengawal perasaan marah yang keterlaluan dan emosi yang tidak stabil sehingga sanggup untuk mencederakan orang lain.
Katanya, kehidupan si pelaku akan berubah sekelip mata dan mereka akan dilabel dengan ‘pembunuh’ dan berdepan dengan hukuman yang berat sehingga boleh digantung.
“Bukan saja si pelaku yang menerima kesan daripada perbuatannya, tetapi orang sekeliling, ahli keluarga si pelaku dan kenalan akan turut terkesan.
“Ahli keluarga akan dibayangi dengan perasaan malu untuk berdepan dengan masyarakat bahawa seorang ahli keluarga mereka adalah ‘pembunuh’.
“Ini semua kesan jangka panjang terhadap perbuatan mereka, terhadap hilang kewarasan mereka selama beberapa minit yang menghancurkan keseluruhan kehidupan,” katanya.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply