MUAR: Hasil bedah siasat ke atas kanak-kanak yang terkorban bersama datuk dan neneknya dalam kebakaran rumah di Kampung Sekolah Paya Redan, Pagoh di sini semalam dipercayai akibat hentakan objek tumpul pada bahagian kepala.
Menurut Nor Hasyim Tahir, 43, bapa kepada Allahyarham Noradriana, 11, yang maut dalam kebakaran yang turut mengorbankan ibu dan bapa mentuanya pagi semalam, muka anaknya hancur namun tidak mengetahui puncanya.
“Saya boleh cakap keadaan anak saya mukanya hancur disebabkan bekas ketukan. Saya tidak tahu apa puncanya.
“Menurut doktor, kesan kebakaran tidaklah teruk sangat malah kematiannya juga bukan disebabkan itu (kebakaran) tapi akibat ketukan kuat di kepala.
“Itulah yang membuatkan saya sedih apabila menatap jenazahnya petang semalam,” katanya ditemui selepas pengebumian Noradrian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Redan, Pagoh, hari ini.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi semalam, ibu bapa mentua, Mohamed Nor Mohamed Yasin, 82 dan isterinya Ara Abdul Hamid, 76, turut maut dalam kebakaran yang memusnahkan kira-kira 85 peratus rumah separuh kayu.
Bagaimanapun, selepas kejadian itu, seorang anak pasangan warga emas terbabit yang juga bapa saudara arwah Noradriana, Azman Mohamed, 48, menghilangkan diri dan gagal dikesan hingga kini.
Sementara itu, jiran Ghazali Abd Rahman, 53, pada hari kejadian mereka terdengar bunyi letupan dan menyangka ada penduduk bermain mercun.
Menurutnya lagi, apabila keluar rumah, dia melihat seorang remaja berlari di tengah jalan lalu meminta bantuan isterinya, Rozana Abdullah, 48, untuk memeriksa.
“Sebaik melihat Norazima Mohd Radhi, 14, remaja terus mendakap isteri saya dalam keadaan berlumuran darah.
“Pada masa sama, salah seorang anak saya melihat Azman menunggang motosikal berada di belakang Norazima.
“Namun, dia tidak memberhentikan motosikal sebaliknya meneruskan perjalanan memandangkan ada sebuah motosikal yang kebetulan melalui lokasi kejadian,” katanya.
Katanya lagi, anaknya terus menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan memandangkan keadaan Norazima trauma seperti ketakutan.
“Saya beranggapan mungkin Azman mengejarnya namun tidak berhenti selepas melihat ada penduduk melalui lokasi,” katanya
Kebakaran 3 rentung: Ima nampak saya lalu terus peluk – Saudara mangsa
MUAR: Mangsa yang terselamat dalam kebakaran di Pagoh awal pagi tadi, pelajar tingkatan 2, Norazima Mohd Radhi dikatakan sempat keluar dalam keadaan cedera dan bersembunyi di sebalik timbunan pasir kira-kira 50 meter dari rumah terbabit.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alauddin Riayat Shah 1, Pagoh itu dikatakan cuba meminta pertolongan jirannya yang juga saudara kepada arwah neneknya, Ara Abdul Hamid, 76, yang terkorban dalam tragedi menyayat hati itu.
Rozana Abdullah, 48, berkata, ketika itu dia tahu rumah datuk dan nenek Norazima terbakar namun tidak mengetahui sama ada mereka sempat keluar atau tidak.
“Apabila saya keluar rumah, Ima (Norazima) nampak kelibat saya lalu terus peluk. Saya tanyakan padanya dia mana adik, dia jawab ‘adik pengsan’.
“Kemudian saya bertanyakan datuk dan neneknya, dia beritahu kedua-dua mereka ‘ada dalam api’. Saya terkedu dan membawanya masuk dalam rumah bagi menenangkan fikirannya.
“Dia (Norazima) ketika itu dalam keadaan ketakutan malah dia juga memeluk erat saya. Saya hanya mampu menitiskan air mata apabila mendengar berita daripadanya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa yang maut Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Abdul Hamid, 76, serta adik Norazima, Noradriana Nor Hisyam, 11, di Kampung Paya Redan, Pagoh, di sini.
Beberapa penduduk yang menyedari kebakaran cuba menghulurkan bantuan termasuk menarik paip getah untuk memadam api namun gagal.
Salah seorang daripada mereka, sempat menyelamatkan Noradriana yang ketika itu masih bernyawa sementara menunggu bantuan untuk dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).
Bagaimanapun, usaha menyelamatkan Noradriana gagal apabila dia disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Selain itu, rumah pusaka terbabit turut didiami bapa saudara yang juga adik kepada arwah ibunya, Azman Mohamed, 48, namun lelaki terbabit dilaporkan menghilangkan diri selepas kejadian itu dan gagal dikesan.
Ketika kejadian, mereka berlima berada di rumah terbabit manakala bapanya bekerja sebagai pemandu lori berada di luar kawasan kerana menghantar barang.
Dalam pada itu, Rozana berkata, dua beradik terbabit, Norazima dan arwah Noradriana menetap bersama nenek sejak kecil selepas kematian bapa Norazima.
“Apa yang membuat saya sedih bila mengenang kisah hidup mereka berdua. Norazima dan arwah Noradriana sangat lemah lembut dan mereka jarang keluar ke mana -mana.
“Kalau berkawan pun, hanya dengan orang sekeliling. Dia anak yang baik, sopan santun namun saya kehilangan salah seorangnya hanya dalam sekelip mata,” katanya.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply