KUALA SELANGOR – Jenazah Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, yang ditemukan maut di Sungai Klang, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Puncak Alam di sini pada Khamis.
Jenazah Allahyarham Nidza Afham, 23, dikebumikan kira-kira jam 6.45 petang.
Terdahulu, jenazah anak kelima daripada tujuh beradik itu disembahyangkan di Masjid Puncak Alam.
Sebelum itu, suasana hiba di tanah perkuburan sejurus jenazah Allahyarham tiba untuk dikebumikan.
Kira-kira ratusan ahli keluarga, saudara-mara dan kenalan hadir pada pengebumian Allahyarham Nidza Afham.
Pada Rabu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di Sungai Klang, adalah Nidza Afham.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses selanjutnya.
Penyanyi itu dilapor hilang selepas keluar joging di Stadium Klang, kira-kira jam 11.53 malam pada Selasa.
Susulan itu, dompet dan telefon bimbit Nidza Afham ditemui di Jambatan Sungai Klang, Klang.
Jasad Nidza Afham kemudiannya ditemukan berhampiran Jalan Tepi Sungai, Solok Sungai, Taman Telok Pulai Indah, jam 7 malam Rabu.
Nidza Afham pernah menyertai rancangan realiti I Can See Your Voice 3, sebelum melancarkan single berjudul Ternyata Bukan Aku.
Sementara itu, Hussein mengesahkan kematian Nidza Afham Mokhtar, 23, diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Beliau berkata, bedah siasat telah dijalankan bermula kira-kira jam 11 pagi hingga 3 petang di Hospital Shah Alam pada Khamis.
‘Kami sudah terima, ini hari terakhir Afham’
Kuala Selangor: “Kami sebenarnya sudah terima (pemergian Nidza Afham). Hari ini adalah hari terakhirnya di atas (dunia) dan kami mahu hantarnya kembali ke bawah bumi (tanah).”
Luahan abang sulung Allahyarham Muhammad Nidza Afham Mokhtar, Mohd Nidza Irfan, 33, ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Cherakah, di sini, hari ini.
Nidza Irfan berkata, dia tidak menahan sebak apabila mengimbas kembali detik bersama Allahyarham yang dianggap sukar untuk dilupakan.
“Apabila saya minta tolong, arwah pasti ada. Jauh macam mana sekali pun, dia akan datang. Malah, perkara sama juga dilakukan kepada adik-beradik lain.
“Arwah suka menawarkan diri untuk membantu keluarga. Ramai sedia maklum akan peribadinya hingga membuatkan semua orang selesa dengannya,” katanya.
Nidza Irfan berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT namun bersyukur kerana Allahyarham meninggalkan memori yang indah.
Pada masa sama, dia turut berterima kasih kepada semua dan terharu apabila banyak pihak membantu dari awal sehingga selesai majlis pengebumian.
“Macam mana ujian sekali pun, ia dipermudahkan dan selesai semuanya,” katanya.
Terdahulu, jenazah Nidza Afham, 23, selamat dikebumikan pada 6.40 petang selepas dibawa ke Masjid Puncak Alam untuk disembahyangkan.
Polis sebelum itu mengklasifikasikan kematian penyanyi berkenaan sebagai mati mengejut.
Please wait while you are redirected...or Click Here if you do not want to wait.
Leave a Reply